Satu Malaysia

PEMBANGUNAN INSAN MENERUSI 1MALAYSIA 1

Dato' Sri Najib Razak di dalam ucapan terakhirnya sebagai Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 24 Mac 2009 telah menyatakan: “Sejarah turut membuktikan apabila orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam, kita akan menjadi bangsa yang dihormati… UMNO dan orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaharuan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu”.

Inilah batu asas kepada transformasi yang hendak dilakukan oleh Dato' Sri Najib menjelang peralihan kuasa sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Tegasnya untuk menjadi bangsa yang dihormati maka orang Melayu wajib berpegang teguh kepada ajaran Islam. Mesej jelas kepada generasi muda dan wanita di dalam UMNO dan juga kepada seluruh umat Islam di negara ini bahawa beliau tidak mengambil mudah tentang ruh dan agenda perjuangan Islam. Seterusnya, beliau meletakkan syarat wajib untuk menjayakan misi perpaduan kebangsaan di negara ini dengan memulakan perpaduan di kalangan orang Melayu. Dalam erti kata lain, usaha untuk membentuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Negara ini menerusi konsep ‘Satu Malaysia', ianya mestilah didahulukan dengan perpaduan kukuh dan erat di kalangan orang Melayu dan Islam di Negara ini. Tanpa perpaduan Melayu ini maka usaha untuk menyatukan bangsa dan kaum pelbagai agama dinegara ini akan menghadapi masalah.

Kenapa Penjelasan Satu Malaysia Penting ?

Sebaik sahaja Dato' Sri Najib selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, beliau telah memulakan ucapan sulungnya dengan melontarkan gagasan ‘Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.' Ramai yang sokong, tidak kurang juga yang mengkritik dan terdapat juga segelintir di kalangan kita yang masih keliru dan sangsi dengan gagasan 'SATU MALAYSIA'. Ada yang mengatakan bahawa gagasan ini adalah mirip kepada gagasan DAP, iaitu ‘MALAYSIAN MALAYSIA'. Apakah dakwaan ini benar ?

Tidak cukup setakat kegusaran terhadap ‘Satu Malaysia', sewaktu pembentukan kabinet baru oleh Dato' Sri Najib diumumkan pada 9 April, satu lagi kegemparan berlaku apabila satu kementerian yang dibentuk khusus sebelum ini untuk membangunkan ekonomi Melayu dan Bumiputera iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan telah dibubarkan. Tidak kurang juga yang bertanya dan mengkritik, adakah agenda Melayu dan Bumiputera tidak penting lagi dalam gagasan ‘ Satu Malaysia' di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib ?

Lebih serius dan lebih mencabar lagi apabila Dato' Sri Najib selaku Menteri Kewangan telah mengumumkan Liberalisasi 27 subsektor Perkhidmatan, Liberalisasi Kewangan dan yang terbaru Liberalisasi Sektor Khidmat Guaman. Makin ramai yang panik dan makin bertambah kusut lagi pemikiran orang Melayu di negara ini tentang apakah sebenarnya agenda dan gagasan ‘Satu Malaysia' ini. Lebih memburukkan lagi keadaan bila terdapat penulis-penulis blog yang kurang siuman telah memainkan isu ini dengan menyelewengkan fakta-fakta sebenar dengan menokok tambah perkara-perkara yang boleh membimbangkan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Untuk mengatasi kemelut dan kesangsian terhadap persepsi masyatakat terhadap gagasan ‘Satu Malaysia' ini, maka penulis telah merujuk kepada ucapan khas Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-10 yang telah diadakan di PICC, Putrajaya pada 28 April 2009. Buku ini ditulis khusus untuk memberikan maklumat dan penjelasan kepada umum secara fakta dan juga berasaskan kepada pertimbangan akal yang rasional bagi membolehkan masyarakat mendapatkan gambaran secara tepat tentang konsep ‘Satu Malaysia', transformasi kepimpinan dan dasar liberalisasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak.

Sirah Rasululah Menjadi Pedoman

Apakah asas dan juga teras kepada gagasan ‘Satu Malaysia' yang dikemukakan oleh Dato' Sri Najib Razak ? Adakah ianya bersumberkan Syariah ataupun berkiblatkan kepada ideologi DAP?

Mungkin ramai yang tidak peka dengan ucapan Dato' Sri Najib ketika berucap merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 24 Mac 2009. Di sini saya ingin mengimbas kembali ucapan tersebut, katanya: “Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sinar ketamadunan”.

Dalam ucapannya di majlis tersebut juga, beliau telah menceritakan sirah Rasulullah semasa hijrah tentang bagaimana baginda telah menyatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu.

Seterusnya Dato' Sri Najib menghuraikan antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa itu, antaranya adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai “al-falah”.

Lantaran itu, maka dalam ucapan penggulungan Persidangan Agung UMNO pada 28 Mac 2009, Dato' Sri Najib yang baru mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada persidangan tersebut telah berikrar dan beriltizam di hadapan Perwakilan UMNO bahawa beliau akan mendaulatkan agenda Islam serta mempertingkatkan penghayatan dan pelaksanaannya di semua sudut, termasuk rohani, ekonomi, sosial, mahupun budaya hidup. Tegasnya lagi, usaha untuk mengembangkan syiar Islam tidak akan pernah kunjung padam dan akan teruskan perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam.

Inilah ikrar dan juga iltizam seorang Presiden sebuah pertubuhan siasah Islam yang terbesar di negara ini untuk meletakkan kepentingan Islam dan maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi sebagaimana yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam memimpin serta membimbing umatnya mencapai kejayaan ”al-falah”; hasanah di dunia dan hasanah di akhirat.

Perkara sama ini juga telah diperjelas dan diperteguhkan oleh Dato' Sri Najib di hadapan pegawai kerajaan dan penjawat awam dalam ucapan perdananya di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-10, 28 April yang lalu, katanya : ”Dalam hal konsep rakyat didahulukan ini, marilah kita merenung sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku'.

Selanjutnya, selaku Perdana Menteri yang baru, Dato' Sri Najib mengajak dan menyeru seluruh kakitangan perkhidmatan awam agar mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat dalam mengangkat kepentingan rakyat dalam khidmat masing-masing.

Seperti apa yang diungkapkan oleh Dato' Sri Najib kepada Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebelum ini (24 Mac 2009-Dewan Merdeka, PWTC) iaitu, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah daripada sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin bekerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Adalah jelas dan meyakinkan kita bahawa konsep 'Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang digagaskan oleh Dato' Sri Najib adalah satu gagasan dan juga falsafah yang bersumberkan kepada sirah Rasulullah . Bersesuaian dan bertepatan dengan risalah Islam dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah yang mana Islam itu untuk 'rahmatan lil-alamain' ( rahmat sekelian alam).

Latarbelakang Konsep Satu Malaysia?

Konsep Satu Malaysia merupakan satu gagasan yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ke-6, Dato' Sri Najib Razak sebaik sahaja beliau memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009. Konsep ini diutarakan oleh beliau dalam ucapan sulungnya sebaik sahaja mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Dalam ucapan sulungnya ini beliau merasa terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia. Maka dengan itu, pada hari pertama perlantikannya sebagai Perdana Menteri, Dato' Sri Najib telah berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.

Iltizamnya untuk berkhidmat dan membela untung nasib rakyat ini telah digagaskan olehnya menerusi satu transformasi besar buat negara dengan semangat : 'Satu Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pada 28 April 2009 di PICC, Putrajaya, Dato' Sri Najib memperjelaskan bahawa konsep ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman telahpun berjaya menyatukan Malaysia menerusi kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu menerusi pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Maka kini, Satu Malaysia bukan bermakna penyatuan dari segi fizikal sahaja tetapi lebih ke arah penyatuan fikiran, semangat perjuangan, kebudayaan dan juga taraf kehidupan tanpa mengira etnik, bangsa, agama dan juga kawasan ataupun wilayah.

Konsep 'Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan', adalah satu falsafah yang memayungi pentadbiran negara di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib. Ia akan menekankan apa yang harus dilakukan sekarang bagi memacu negara ke arah mencapai hasrat dan visi yang ditetapkan oleh dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, supaya Malaysia menjadi negara maju menerusi ”Wawasan 2020” dan Tun Abdullah Ahmad Badawi agar rakyat Malaysia menjadi bangsa ”Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”.

Untuk menjayakan kedua-dua visi yang telah ditetapkan oleh kedua-dua mantan Perdana Menteri ini maka Dato' Sri Najib selaku Perdana Menteri yang baru perlu menekankan pula soal kesatuan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan etnik di negara ini. Beliau menekankan bahawa hasratnya adalah menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat dan berlaku adil , tidak dilihat sebagai Perdana Menteri yang memihak kepada mana-mana suku kaum. Konsep Satu Malaysia ini menekankan rasa saling hormat dan percaya antara semua kumpulan etnik di Malaysia yang beliau sifatkan sebagai tiang seri kepada proses perpaduan nasional.

Maksud Konsep Satu Malaysia

Apa yang dimaksudkan dengan slogan 'Satu Malaysia' ini ialah kerajaan akan mengutamakan rakyat dan merentasi seluruh lapisan masyarakat serta kumpulan etnik di setiap pelusuk tanah air. Dalam menghuraikan slogan ini juga Dato' Sri Najib telah menjelaskan bahawa tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama pada 15 April 2009, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pelaksanaan konsep 'Satu Malaysia' ini tidak akan menyebabkan kerajaan mengenepikan dasar afirmatif untuk menolong bumiputera. Dasar itu tetap dilaksanakan dengan adil iaitu dengan memberi pertimbangan kepada golongan yang layak untuk mendapatkan sesuatu pertolongan kerajaan.

Konsep 'Satu Malaysia' ini juga sama sekali berbeza dengan konsep ' Malaysian Malaysia' seperti yang diperjuangkan oleh DAP yang cuba dikelirukan oleh segelintir pihak terutama parti pembangkang. Di bawah konsep 'Satu Malaysia' bererti kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia (one people). Sebagai contoh katanya, kalau kita buat program untuk membina rumah-rumah PPRT, kita jangan lupa rakyat bumiputera Sabah dan Sarawak yang hidup di rumah-rumah panjang. Mereka juga mesti dibekalkan dengan program untuk membina semula rumah-rumah panjang. Dan kalau kita memperjuangkan soal kemiskinan, kita mesti melihat kemiskinan yang merentasi semua kaum sama ada di bandar, luar bandar, ladang, kampung baru atau kumpulan orang asli.

Perdana Menteri seterusnya menjelaskan bahawa tiada asas rigid bagi menentukan prinsip asas Satu Malaysia. Apa yang penting katanya, ialah sikap toleransi , saling hormat menghormati dan saling percaya di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Ciri-Ciri Khusus 'Satu Malaysia

Ciri-Ciri khusus yang mendasari gagasan 'Satu Malaysia' ini adalah seperti berikut :

a. Menjadikan kemajmukan rakyat yang ada sebagai sumber kekuatan. Walaupun kita telah menyaksikan banyak negara di dunia telah hancur oleh faktor kemajmukan, namun Malaysia telah berjaya menjadi negara yang aman dan stabil hasil daripada faktor kemajmukan ini. Maka yang demikian, suka atau tidak suka, kita mesti mengakui kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus di terima. Inilah merupakan teras kepada konsep Satu Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan.

b. Konsep ini tidak sekali-kali lari daripada apa yang telah termaktub dan dimuafakatkan melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Di bawah konsep Satu Malaysia ini setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan dibantu dengan sewajarnya dan tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan.

c. Tidak ada konsep warganegara kelas kedua dan setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang penting kepada negara untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya.

d. Setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab – mana-mana pihak tidak boleh terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

e. Memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan. Bantuan dan juga perhatian kerajaan kepada rakyat akan berasaskan kepada meritokrasi dan juga kesaksamaan -malah kesaksamaan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.

f. Mengamalkan prinsip-prinsip kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) dalam satu keluarga besar dalam konteks realiti kemajmukan kaum dan agama di Malaysia.

Nilai-Nilai Utama SATU MALAYSIA

Dato' Sri Najib Razak di dalam laman web peribadinya http://www.1malaysia.com.my telah memberi penjelasan mengenai beberapa nilai penting yang perlu diterapkan di kalangan jentera kerajaan dan pihak awam bagi mencapai matlamat Satu Malaysia. Beliau telah mengenalpasti serta menguraikan sebanyak LAPAN NILAI yang saling berkait dan memperteguhkan antara satu sama lain untuk dihayati oleh semua lapisan rakyat. Lapan Nilai yang dimaksudkan itu ialah Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan dan Integriti. Penjelasan lanjut bagi setiap nilai tersebut adalah seperti berikut :

1. Nilai Pertama - Budaya Kecemerlangan.

Menurut Dato' Sri Najib, beliau benar-benar percaya bahawa demi mengubah Malaysia dan membawa Malaysia ke tahap kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi, satu nilai yang merangkumi nilai-nilai lain yang akan memastikan Malaysia menuju trajektori yang betul ialah untuk kita menanamkan Budaya Kecemerlangan. Ini kerana jika kita mempunyai satu set nilai-nilai yang menandakan kita mempraktikkan Budaya Kecemerlangan, segalanya akan berkembang dan beralir dari Budaya tersebut.

Pada prinsipnya Budaya Kecemerlangan ini perlu diterapkan secara berterusan di kalangan orang ramai untuk menjana semangat dan juga kesedaran di kalangan mereka betapa pentingnya Semangat Kecemerlangan tersebut. Sebagai contoh, dengan memperkenalkan dengan lebih banyak prinsip meritokrasi, maka ianya akan menyedarkan semua pihak tentang kepentingan prestasi, dan prestasi itu banyak berpaut kepada Budaya Kecemerlangan.

Di sini juga Dato' Sri Najib telah memperincikan beberapa aspek Budaya Kecemerlangan yang dimaksudkannya, iaitu :

Pertama: Percaya kepada Prinsip Ketepatan. Ketepatan dari segi pengukuran, dari segi jadual penyampaian dan juga dari segi kualiti. Jika Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menekankan kualiti dan kecemerlangan, maka setiap produk yang datang dari Malaysia, setiap perkhidmatan yang berasal dari Malaysia akan dilihat seperti mempunyai kualiti dan nilai cemerlang yang diinginkan oleh dunia.

Kedua: Kepimpinan Berasaskan Prestasi. Dalam erti kata lain, jika kita mahu mengubah Malaysia, perubahan mestilah berteraskan kepimpinan yang berasaskan prestasi. Ini bermakna kita mempunyai matlamat-matlamat khusus, yang mana prestasi itu boleh diukur. Menerusi pengukuran prestasi ini, maka dengannya kita boleh membuat pengawasan, pemantauan dan juga boleh mengambil tindakan pembetulan. Di samping itu juga, kepimpinan berasaskan prestasi ini memungkinkan kita untuk membuat sebarang perubahan jika perlu.

Ketiga : Ketepatan Masa dan Waktu. Pengertian waktu, ‘waktu Malaysia', yang sering dijadikan bahan jenaka orang ramai. Tentang menjaga masa, ketepatan masa dalam apa jua yang kita lakukan. Ianya satu perkara yang perlu difahami oleh semua orang dan dilihat dalam gaya hidup semua rakyat Malaysia. Perlu melakukan perubahan di mana perlu, contohnya, pernyataan seperti ‘lebih kurang' – ia sepatutnya tidak wujud lagi dalam leksikon perkataan-perkataan yang kita gunapakai seharian. Kita perlu lebih tepat dalam setiap perbuatan, pertuturan dan dalam apa sahaja yang ingin dicapai.

2. Nilai Kedua – Ketabahan.

Dalam memperkatakan Nilai Kedua ini, Dato' Sri Najib percaya bahawa Ketabahan merupakan nilai utama Satu Malaysia yang merupakan tulang belakang bagi semua negara yang pernah berjaya mengatasi zaman-zaman yang mencabar dalam sejarah mereka. Maka, pengertian nilai ketabahan sebagai satu nilai yang wajib dipupuk dan dibentuk oleh setiap rakyat Malaysia itu sangat dalam, terutamanya dalam tempoh waktu ini.

Kehidupan bukan semuanya mudah. Sebarang tanggapan bahawa kehidupan adalah lakaran lurus yang sentiasa mendaki tanpa penghujungnya adalah suatu salah anggapan. Seseorang itu hendaklah menerima kehidupan sebagai satu siri naik dan turun. Ianya memerlukan kepada Nilai ketabahan seperti berikut :

Pertama : Mesti menjadi seorang yang percaya kepada kerja keras dan sepenuhnya berdedikasi.

Kedua: Mesti tabah menghadapi segala dugaan dan sedia berhadapan dengan sebarang rintangan. Ini kerana orang yang tabah serta mampu berhadapan dengan sebarang rintangan, semestinya berupaya mengharungi rintangan tersebut.

Ketiga: Perlu menghargai dan memahami bahawa ada masa-masanya kita terpaksa menghadapi sesuatu kesukaran. Contohnya negara kita Malaysia, kita pernah berhadapan berbagai krisis sebelum ini sama ada krisis kewangan, menentang komunis ataupun berhadapan dengan waktu-waktu bergolak di dalam sejarah politik negara. Namun pada setiap keadaan kita telah berjaya mengharungi krisis tersebut dan menjadi lebih kuat sebagai sebuah negara. Tetapi semua itu telah dicapai kerana kita telah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada permasalahan tersebut. Kita telah berkerja dengan gigih dan sentiasa menghadapi rintangan dengan ketabahan dan akhirnya membuktikan bahawa para pewaham kita adalah salah.

Kempat: Ketabahan mengharungi perubahan peribadi. Dato' Sri Najib menceritakan tentang sejarah kehidupannya yang mengharungi kekecewaan peribadi yang dialaminya dalam Pilihanraya Umum tahun 1999, apabila menang tipis dengan majoriti sangat kecil iaitu 241 undi di Parlimen Pekan.

Pada masa itu, ramai yang berkata tidak lama lagi beliau akan menjadi sejarah, dan lebih daripada itu sebahagian daripada mereka mencadangkan supaya beliau bertukar kawasan. Sebaliknya beliau kekal berpendirian teguh dan menyatakan pada diri sendiri akan terus berjuang dan jika perlu jatuh rebah, biarlah beliau rebah dalam perjuangan. Di atas ketabahan tersebut, maka dalam Pilihanraya Umum 2004, dalam jangka masa 4 tahun, undian yang diperolehinya di Parlimen Pekan telah dijelmakan kepada majoriti besar berjumlah 22,922. Dan seterusnya dalam pilihanraya yang lepas (2008), beliau telah mencapai kejayaan terbaik dari segi majoriti BN untuk sebarang kawasan pemilihan Parlimen apabila berjaya meraih 26,464.

Inilah di antara ciri-ciri ketabahan yang dirungkaikan oleh Perdana Menteri di dalam membicarakan persoalan Nilai Ketabahan yang menjadi Nilai Kedua kepada Konsep Satu Malaysia. Nilai inilah yang harusnya ditanamkan serta dihayati oleh setiap pemimpin dan juga rakyat agar mereka mampu mengharungi sebarang dugaan dan juga rintangan yang mungkin melanda mereka pada bila-bila masa.

Tanpa adanya nilai ketabahan ini maka sudah tentu rakyat ataupun pemimpin yang kecewa dalam sesuatu perkara di dalam kehidupannya akan mengambil tindakan yang negatif ataupun satu tindakan yang boleh merugikan untuk jangka masa panjang.

3. Nilai Ketiga - Rendah Hati.

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam konteks ini, contohnya katakanlah jika kita seorang ahli politik ataupun jika kita sebagai seorang ahli parlimen. Bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat tradisional, mereka cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri. Dalam Islam, ia adalah konsep Tawaddu`, yakni rendah hati. Sebagaimana yang kita ketahui di dalam masyarakat Melayu, seseorang itu tidak boleh menunjuk-nunjuk. Contohnya, apabila kita keluar melakukan tugas sebagai seorang ahli parlimen, kita mestilah boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Dalam mengungkapkan persoalan ini, Dato' Seri Najib menceritakan pengalamannya sebagai seorang Ahli Parlimen, katanya: ”Saya sangat menyedari akan keadaan bahawa apabila saya melakukan tugas saya sebagai ahli parlimen, saya sangat selesa dengan keadaan tersebut. Sebagai contoh, jika saya berada di dalam surau atau pergi ke rumah penduduk miskin di dalam kawasan saya, saya memastikan tingkah laku saya tidak akan membuatkan mereka berasa tidak selesa, dan pemergian saya ke sana bukanlah bertujuan memandang rendah atau bersikap menghina mereka. Maka itu pada saya ia adalah satu aset.”

Namun begitu, bersikap rendah diri bukanlah sebagai satu petanda kelemahan. Dalam masyarakat tertentu, ia cenderung disalah ertikan sebagai satu petanda kelemahan. Apabila berurusan dengan orang luar contohnya, adakalanya kita perlu menunjukkan kekuatan diri kita. Kita perlu memperlihatkan keyakinan kerana apabila kita dilihat sebagai rendah diri pada sudut pandangan mereka, ia dianggap sebagai satu petanda kelemahan.

Tegasnya lagi bahawa 'rendah hati' itu perlu disesuaikan mengikut keadaan. Kita perlu sedar bahawa dalam lingkungan masyarakat Malaysia, 'rendah hati' adalah satu aset, tetapi ada waktunya apabila kita berurusan dengan dunia luar kita perlu memperlihatkan kekuatan dan kejayaan kita, tetapi bukanlah dengan cara penindasan.

4. Nilai Keempat – Penerimaan.

Dato' Sri Najib menjelas bahawa terdapat perbezaan yang agak ketara di antara toleransi dan penerimaan. Apabila kita menyebut toleransi, kita tidak berapa sukakannya, tetapi tetap menerimanya kerana tiada pilihan. Tetapi jika kita bercakap dari segi penerimaan, ia memperlihatkan keadaan pemikiran bahawa kita menerima sepenuhnya sesuatu itu secara positif. Pada beliau adalah penting bagi kita untuk beralih dari konsep toleransi semata-mata ini kepada penerimaan. Penerimaan bermaksud bahawa kita bersedia untuk menerima sebarang perkara. Jika kita sanggup menerima sebarang perkara, bermakna kita mengambil perkara tersebut dengan kerelaan, maka kapasiti kita untuk melihat kepada semua perkara secara lebih positif adalah lebih baik berbanding toleransi semata-mata.

Jelas beliau lagi, dengan penerimaan yang berteraskan kepada kerelaan ini maka kita tidak lagi merasa terbeban dan tidak dipengaruhi oleh sebarang tanggapan melulu yang negatif dan mahu pula melihat kepada kemampuan terbaik yang boleh diberikan oleh seseorang itu. Inilah yang kita perlukan untuk Malaysia. Kita perlu mendapatkan yang terbaik daripada bangsa Melayu, terbaik daripada bangsa Cina, bangsa India, semua kaum lain dan mengadun semua ini agar secara terkumpulnya kita akan menjadi jauh lebih besar berbanding bilangan kelompok kaum secara individu.

Dalam menghayati Nilai Penerimaan ini Dato' Sri Najib menyarankan agar kita perlu memulakan polisi yang kelihatan adil dan dilaksanakan dengan cara yang mencerminkan komitmen kita. Sebagai contoh, apabila kita bercakap tentang membantu mereka yang miskin, kita mesti membantu mereka yang miskin dalam semua golongan masyarakat. Ini kerana golongan miskin dalam semua golongan masyarakat wajar dibantu. Maka semua program dan peruntukan kewangan kita wajib mencerminkan keperluan untuk mengatasi masalah golongan miskin merentasi semua lapisan etnik dan kaum. Itu adalah sebagai satu contoh polisi di peringkat tersebut.

Terdapat juga pertimbangan lain, contohnya di dalam kita membangunkan bakat di Malaysia. Setiap rakyat Malaysia sepatutnya berupaya untuk memenuhi sepenuhnya dari segi pembangunan diri mereka tanpa mengira jantina. Sistem sedia ada kita, sistem pendidikan, biasiswa, bantuan kewangan; semua peluang tersebut hendaklah mencerminkan bahawa tidak terdapat sebarang had. Had tidak ditentukan kerana latar belakang etnik semata-mata, bahkan had perlulah ditentukan berasaskan kepada keupayaan peribadi seseorang itu.

5. Nilai Kelima – Kesetiaan.

Kesetiaan merupakan satu nilai penting yang sering disalahtafsir dan disalahguna. Kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas kepada kepercayaan. Dalam sebarang perhubungan, kesetiaan adalah penting. Contohnya sebagai kawan, kita setia kepada kawan, kerana kesetiaan tersebut akan membina kepercayaan. Satu ikatan peribadi antara kita dengan seorang yang lain. Di dalam mentafsirkan kesetiaan ini, Dato' Sri Najib berpandangan bahawa ia tidak sepatutnya keterlaluan sehingga menjadi kesetiaan membuta tuli.

Bagi menghuraikan maksud kesetiaan yang tidak membuta tuli ini, Dato' Sri Najib membuat perumpamaan seperti di dalam perkhidmatan kerajaan. Seseorang anggota perkhidmatan awam itu perlu setia kepada pemimpin atasannya. Tetapi seseorang itu hendaklah setia selagi pemimpin itu juga setia, dalam erti kata perlakuan pemimpin tersebut, komitednya pemimpin kepada tugasnya dan berdedikasi. Kesetiaan juga tidak bermakna kita tidak boleh mengkritik, tetapi sudah tentu kita hendaklah mengkritik dengan cara yang betul, di tempat dan masa yang bertepatan.

Secara peribadi, Dato' Sri Najib menjelaskan bahawa beliau akan bersifat terbuka dan sudah tentu akan menghargai seseorang yang mengkritiknya ataupun memperbetulkan kesilapannya, jika ianya dilakukan secara betul dengan memberikan pandangan yang membina dan juga di masa serta tempat yang sesuai. Malah kritikan yang membina ini amat diperlukan dalam kepimpinannya, sama ada ianya perhubungan peribadi atau dalam konteks rakan sejawat .

Kesetiaan juga hendaklah disertai dengan keupayaan. Kita tidak boleh memberikan ganjaran kepada seseorang itu hanya kerana dia setia, tetapi melupakan kenyataan bahawa kesetiaan tanpa kemajuan dan keupayaan adalah tidak mencukupi. Benar, kesetiaan adalah penting, tetapi ia perlu disertai dengan pertimbangan lain juga.

Kesetiaan yang disalah anggap dan membuta tuli akan membuatkan seseorang itu memiliki kuasa penuh berasaskan perhubungan peribadi, yang mana seseorang yang sedemikian berpotensi untuk melakukan apa sahaja yang diingini tanpa pertanggungjawaban. Hal ini adalah salah dan merugikan dari segi perhubungan peribadi. Jika ianya berlaku dalam sektor awam (kerajaan), maka ruang untuk memberi kritikan membina ataupun bertentangan pendapat tidak berlaku. Sedangkan kritikan membina hendaklah dilakukan dengan cara yang betul dan dengan niat yang baik.

6. Nilai Keenam - Meritokrasi.

Sepertimana yang diterangkan dalam Nilai-nilai Satu Malaysia yang telah diperjelaskan oleh Dato' Sri Najib sebelum ini, Meritokrasi harus difahami dan dibentuk mengikut faktor-faktor sosial dan ekonomi di Malaysia.

Pada dasarnya semua orang tahu makna perkataan ini dan prinsip meritrokrasi, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam erti kata yang sebenar kerana ada masanya kita perlu mempertimbangkan faktor-faktor tertentu yang lain. Contohnya, mereka yang kekurangan, atau masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru yang berada di luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik. Sudah tentunya mereka ini memerlukan pertimbangan khas. Namun pada dasarnya, meritokrasi bukan saja satu prinsip yang mulia, tetapi satu prinsip yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan yang lebih hebat. Di dalam menghuraikan Nilai Kecemerlangan sebelum ini, beliau telah menyatakan bahawa salah satu daripada prinsip budaya kecemerlangan adalah prinsip meritokrasi.

Jika sesuatu penghargaan ataupun anugerah itu diberikan kepada seseorang ataupun sesebuah syarikat berasaskan kepada meritokrasi ( yang terbaik dan cemerlang), maka semua pihak akan menyedari bahawa mereka perlu berada di tahap tersebut. Mereka perlu memberikan yang terbaik. Ini akan menyedarkan mereka bahawa semua pihak perlu memberikan serta menyerlahkan sesuatu yang terbaik.

Dalam hubungan ini maka Dato' Sri Najib telah menegaskan tentang langkah kerajaan di bawah pimpinannya ke arah meningkatkan meritokrasi dalam pelbagai aspek perkhidmatan kerajaan dan masyarakat. Sebagai contoh, pemerolehan kerajaan. Sewajarnya kita memperkenalkan satu polisi yang memastikan persaingan pembidaan kerana melalui persaingan pembidaan, peluang kita memilih syarikat terbaik untuk tugasan tersebut pada harga terendah dan pada masa yang sama mempunyai kemahiran yang diperakui adalah lebih besar berbanding pemilihan berasaskan tender perundingan. Justeru, pemilihan berasaskan meritokrasi ini akan menjamin sesuatu perkhidmatan dilaksanakan dengan terbaik dan cemerlang.

7. Nilai Ketujuh - Pendidikan.

Perdana Menteri telah menjelaskan visinya tentang Satu Malaysia, termasuk juga tentang negara yang rakyatnya telah menggayakan kehidupan mereka melalui usaha mendapatkan dan menggunakan pengetahuan secara positif. Proses pendidikan seumur hidup yang dilakukan di dalam dan luar bilik darjah akan membentuk rakyat Malaysia yang berupaya berfikir dan bertindak tanpa terlalu mementingkan diri sendiri, malah lebih mementingkan masyarakat setempat mereka.

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Di sepanjang sejarah, kita telah melihat hanya empayar yang berteraskan akal sahaja yang terus wujud, khususnya dalam konteks semasa. Sebuah empayar yang terbina daripada kekuatan tentera tidak bertahan dan tidak mampu bertahan. Maka apabila kita bercakap tentang pendidikan dan pengetahuan, ia mesti dilihat dalam konteks holistik. Ia juga mesti disepadukan dengan nilai. Kita mesti memiliki masyarakat yang menempatkan pendidikan dan pengetahuan di mercu segala yang lain. Bukan saja kerajaan, tetapi juga masyarakat sebagai satu nilai. Sebagai contoh, budaya membaca. Jika kita hanya berharap kepada buku teks formal, kita tidak akan menimba ilmu sebagaimana sepatutnya. Tetapi jika diri kita berbudaya membaca, tabiat membaca ini sama ada melalui buku atau pun internet, maka kita akan berupaya membuka minda masyarakat Malaysia dan akan melihat minda rakyat Malaysia berterusan terbuka.

Kita dikekang oleh kenyataan bahawa kita mempunyai aliran (pendidikan) yang berbeza di dalam negara. Kita tidak mempunyai aliran tunggal dan dengan demikian, kita tidak mempunyai aliran kebangsaan. Sedangkan aliran kebangsaan sendiri telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular. Ia menjadikan kedua-duanya kekuatan dan masalah serta cabaran kepada kita kerana kita tidak berpeluang untuk membolehkan rakyat Malaysia membesar bersama melalui satu saluran pendidikan dari segi fizikalnya, sebaliknya mereka akan diasingkan.

Ini kerana 95 peratus daripada bangsa China akan memasuki sekolah China dan 97 peratus daripada bangsa Melayu akan memasuki sekolah kebangsaan. Maka kita akan kehilangan peluang. Namun apa yang boleh kita lakukan ialah memastikan terdapatnya peluang untuk kita berinteraksi dengan melihat kepada kurikulum dan menekankan kepada nilai bersama, agar walaupun kita terpisah secara fizikalnya, tetapi jika dipenuhi dengan nilai sistem yang serupa, pada satu peringkat masa diharap kita akan bertemu pada satu titik persamaan. Apabila kita bertemu dalam erti kata fizikalnya, kita akan berupaya untuk menghargai satu sama lain dengan lebih baik lagi.

8. Nilai Kelapan – Integriti.

Nilai Integriti ini merupakan sebagai pelengkap kepada ketujuh-tujuh nilai set nilai Satu Malaysia yang diperjelaskan di atas. Nilai ini diyakini amat penting dalam membentuk diri kita untuk menjadi rakyat Malaysia yang mengagumkan bersesuaian dengan wawasan Satu Malaysia. Integriti melengkapkan set lapan nilai ini dan adalah alat utama untuk memastikan prinsip didukung dan janji ditepati. Hanya setelah kita berupaya memenuhi janji dan menjadi lebih telus serta terbuka dengan orang lain, maka akan terbinalah satu asas kepercayaan yang kukuh.

Di sini Dato' Sri Najib telah menegaskan bahawa kesemua Lapan Nilai Satu Malaysia – Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan dan Integriti; ianya paling penting kepada usaha bersama kita untuk menambah nilai kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun.

Jelasnya lagi, tiada mana-mana satu nilai yang boleh dipenuhi dengan meninggalkan yang lainnya untuk membentuk Satu Malaysia yang sebenar-benarnya. Sungguhpun kesemua nilai ini telah lama dididik dalam budaya kita, penerapan Nilai-nilai ini mesti diperbaharui. Dato' Sri Najib seterusnya menyeru semua rakyat Malaysia agar menanam dan memupuk semua Nilai-Nilai ini dalam amalan dan tindakan harian mereka. Bukan sahaja di kalangan rakan dan taulan serta keluarga, malah juga di tempat kerja dan masyarakat keseluruhannya.

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Pada Perdana Menteri, satu cara terbaik untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ini adalah dengan berlaku jujur kepada rakyat. Bercakap benar kepada mereka. Jika kita telah melakukan dengan baik, maka kita perlu memaklumkan tentang polisi yang dilaksanakan adalah betul. Sebaliknya jika polisi tersebut tidak menjadi, maka kita sewajarnya berani untuk menjelaskan kepada mereka bahawa kita telah melakukan kesilapan. Dan berazam untuk merancang bagi melakukan yang lebih baik lagi, serta mahu memperbetulkan kesilapan ini. Beliau yakin bahawa rakyat akan menghargai tindakan tersebut.

Walaupun kita berada di dalam kerajaan, kita hanyalah manusia dan manusia melakukan kesilapan. Kuncinya ialah bukannya kita mengambil mudah dengan melakukan kesilapan, tetapi bagaimana kita bangkit daripada kesilapan tersebut. Adalah diharapkan kesilapan hanya sedikit sahaja, tetapi sebahagian besar daripada keputusan adalah betul dan bertepatan. Namun ada ketikanya disebabkan oleh perubahan keadaan, kita tiba-tiba menyedari bahawa polisi atau keputusan yang dilaksanakan adalah tidak tepat. Tetapi bila kita menyedari bahawa apa yang kita lakukan kurang tepat, maka kita hendaklah berlaku jujur dengan memaklumkan kepada rakyat tentang kesilapan dan kekurangan yang telah kita lakukan.

Seterusnya kita mesti bercakap benar dan percaya kepada rakyat. Percaya bahawa rakyat adalah bijak, akan menghargai kejujuran dan kebenaran. Bertemu dan berkomunikasilah dengan rakyat. Selepas satu jangka masa, sudah tentu kita akan berupaya membina kepercayaan dan keyakinan tersebut dengan rakyat. Paling penting, tepatilah janji. Jika kita berjanji, tunaikan. Satu daripada perkara yang boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan ini ialah jika kita memungkiri janji. Jika kita berjanjikan sesuatu, kita mesti berpegang pada janji dan menunaikannya. Inilah yang dimaksudkan dengan nilai integriti.

Rakyat Didahulukan

Dalam hal konsep 'Rakyat Didahulukan' ini, Dato' Sri Najib telah menjadikan sirah Rasulullah SAW sebagai asas kepada konsep ini. Sebagai pemimpin yang agung dan prihatin kepada umatnya, baginda telah meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayatnya, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku'.

Berdasarkan kepada sirah Rasululah ini, maka Dato' Sri Najib dalam ucapannya di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-10 pada 28 April lalu telah mengajak dan menyeru anggota kerajaan dan penjawat awam di seluruh negara supaya mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat menelusuri kepimpinannya. Iktibar daripada sirah baginda perlu dijadikan teladan di dalam menjaga kepentingan rakyat.

Dalam konteks pentadbiran negara hari ini, rakyat didahulukan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Oleh yang demikian, di bawah konsep Rakyat Didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien yang terutama.

Penjawat awam perlu dilihat memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat. Ini kerana sebab musabab atau raison d‘etre kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk berbakti dan berkhidmat kepada rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam dan politik yang mengamalkan sistem demokrasi di negara ini.

Sehubungan itu, Dato' Sri Najib di dalam ucapannya semasa mengumumkan barisan kabinet baru pada 9 April 2009, menyatakan bahawa anggota kabinet di bawah pimpinannya dan juga anggota perkhidmatan awam akan terus berusaha membina sebuah kerajaan untuk memenuhi keperluan semua rakyat. Ianya akan dilaksanakan menerusi langkah-langkah dan strategi seperti berikut :

1. Memperbaharui ekonomi negara untuk menangani kesan kemelesetan ekonomi global serta mencipta penyelesaian segera untuk kepentingan rakyat.

2. Membangunkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diperkukuhkan atas dasar kepercayaan serta sikap saling hormat menghormati.

3. Membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan sebenar untuk semua.

4. Memperkasakan sistem pendidikan nasional.

5. Melibatkan setiap rakyat Malaysia dalam proses politik negara dan melebarkan wacana nasional. Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan dibangunkan setinggi-tingginya. Ini kerana kita percaya bahawa merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

6. Memperbaharui sistem pemerintahan di negara ini dengan memastikan institusi kerajaan dan penjawat awam bersedia bekerja untuk memenuhi permintaan rakyat demi kepentingan umum, bukannya bekerja kerana kepentingan politik.

7. Menjadikan pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam di negara ini suatu pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat, iaitu pentadbiran yang berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Untuk memastikan rakyat didahulukan dalam sesuatu keputusan kerajaan dan juga dalam melaksanakan perkhidmatan kepada rakyat, maka Dato' Sri Najib telah menggesa kepada semua pihak dalam perkhidmatan awam dan kerajaan agar birokrasi yang menyukarkan dipermudahkan cara untuk menyenangkan rakyat. Justeru janganlah kita masih lagi berpegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah kepada birokrasi yang bersifat memudah cara demi untuk kepentingan rakyat.

Pencapaian Diutamakan

Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan oleh Dato' Sri Najib akan membawa pendekatan baru ke arah menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

Dalam menterjemahkan aspirasi 'Pencapaian Diutamakan' ini, Dato' Sri Najib amat komited bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia akan dianggotai oleh anak-anak Malaysia yang terbaik. Sehubungan itu satu sistem Petunjuk Utama Prestasi (Key Performance Indicators) ataupun KPI akan dirangka bagi mengukur pencapaian setiap menteri kabinet dan juga pegawai tinggi kerajaan. Ia akan dilaksanakan dan dinilai setiap enam bulan sekali.

Kaedah dan juga strategi untuk melonjakkan pencapaian di dalam sesuatu perkara berasaskan kepada kepentingan rakyat adalah seperti berikut :

Pertama : Kepimpinan berpaksikan kepada pencapaian. Bila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah pencapaian. Kepimpinan berteraskan pencapaian adalah kemuncak penilaian kepada kepimpinan. Ianya akan diukur menerusi Petunjuk Utama Prestasi (KPI) yang mencerminkan keutamaan strategik negara. KPI ini akan dipantau oleh sebuah unit baru yang dipimpin oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan, sekali gus bertanggungjawab bagi pengurusan prestasi. Portfolio baru ini akan mengamalkan pendekatan yang kreatif ke arah pembentukan perpaduan nasional bersesuaian dengan konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan. Inilah satu transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi ataupun pencapaian.

Kedua : Penekanan pencapaian kepada impak, bukannya input dan penekanan pencapaian kepada hasil, bukannya output. dan akan memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi (value for money).

Ketiga : Pencapaian berasaskan kepada produktiviti semata-mata hendaklah dianjakkan kepada pencapaian secara holistik yang digabungkan menerusi produktiviti, kreativiti dan inovasi. Kalau selama ini kita mengukur pencapaian dari segi produktiviti, hari ini ukuran ini perlu ditambah baik melalui kreativiti dan inovasi. Gabungan pencapaian produktiviti dengan kreativiti dan inovasi, akan memberikan kita penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap).

Dalam memastikan sesuatu pencapaian itu dapat direalisasikan dalam bentuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI), namun Dato' Sri Najib telah menegaskan bahawa penanda aras muktamadnya ialah sejauh mana rakyat melahirkan rasa puas hati mereka terhadap kerajaan. Ini bermakna bahawa analisis akhir terhadap pencapaian anggota kerajaan dan perkhidmatan awam di bawah kepimpinannya menerusi Kerajaan Barisan Basional akan ditentukan oleh kepuasan hati rakyat. Ini bermakna bahawa rantaian antara pencapaian dan juga kepuasan hati rakyat itu sentiasa berkait dan ianya tidak boleh dipisahkan seperti yang diungkapkan dalam konsep 'Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'.

PENUTUP

Konsep 'Satu Malaysia' yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak merupakan satu falsafah dan juga semangat yang bersumberkan dari perjalanan sirah Rasulullah SAW yang telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sirna ketamadunan.

Sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung, Rasulullah telah berjaya menyatukan antara suku kaum Auz dan Khazraj serta mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Inilah asas dan juga konsep perpaduan yang dibangunkan oleh Rasulullah ketika membentuk sebuah negara nubuwwah di Kota Madinah.

Justeru, apa yang ingin dilaksanakan serta digagaskan oleh Dato' Sri Najib menerusi Gagasan 'Satu Malaysia' ini adalah sangat bertepatan sekali dengan sirah dan juga semangat pembentukan Malaysia yang telah diasaskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1963. Tegasnya, Gagasan 'Satu Malaysia' bukanlah satu konsep yang menyamai 'Malaysian Malaysia' seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Sumber Rujukan: www.1malaysia.com.my

”Nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa ialah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan Rasulullah dalam membimbing umat mencapai al-falah”

( Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak )

LAMPIRAN 1

Teks Ucapan Perdana Menteri

Bertemakan ”Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di PICC, Putyrajaya- 28 April 2009

Alhamdulillah, saya mengucapkan rasa syukur setinggi-tinginya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua satu proses peralihan kuasa yang tertib, licin dan sempurna telah berlangsung pada 3 April yang lalu. Terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah memungkinkan peralihan tersebut berjalan dengan begitu baik.

Justeru, saya berasa amat sukacita kerana inilah julung kali saya bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali kesepuluh atas kapasiti sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dari seluruh pelosok negara menjadi manifestasi komitmen dan iltizam tuan-tuan dan puan-puan kepada perkhidmatan awam yang telah lima dekad menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan negara. Sesungguhnya inilah kali pertama saya bercakap sebagai ketua kerajaan, hakikatnya saya telah lama kenal sebilangan besar tuan-tuan dan puan-puan sepanjang perjalanan kepimpinan dan politik, lebih 33 tahun.

Mengimbau sejarah, kira-kira empat puluh tahun yang lalu, Allahyarham ayahanda saya telah diamanahkan sebagai Pengarah MAGERAN . Pada saat dan ketika itu, perpaduan kaum ibarat retak seribu dan rakyat Malaysia sudah hampir hilang harapan. Selaku Pengarah MAGERAN, ayahanda saya telah berjaya memulihkan demokrasi serta harapan rakyat Malaysia dengan dibantu oleh anggota perkhidmatan awam yang amat berintegriti, berkebolehan, berwibawa dan berdedikasi.

Pendek kata, ramai daripada pendahulu-pendahulu tuan-tuan dan puan-puan adalah mereka yang berada di barisan hadapan dan sangat instrumental dalam usaha memulihkan negara pasca episod hitam 13 Mei 1969.

Sekali air bah sekali pantai berubah. Salah satu hakikat zaman adalah perubahan. Untuk maju manusia perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan manusia perlu menerajui perubahan, sebaliknya jika hanya bernostalgia dengan sejarah kejayaan lampau tanpa gigih mencari kejayaan-kejayaan baru akan menyebabkan gejala jumud dan beku membudaya.

Oleh itu setiap generasi penjawat awam perlu membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan mencipta semula peranan mereka sesuai dengan masa. Melalui kaedah ini barulah mereka boleh memainkan peranan secara berkesan sebagai pemelihara kepentingan awam.

Satu ketika dahulu penjawat awam Malaysia mempunyai reputasi yang amat cemerlang bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi juga di peringkat rantau dan antarabangsa. Bukan maksud saya untuk mengatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia hari ini tidak secemerlang dahulu kerana telah terbukti bahawa perkhidmatan awam Malaysia telah memainkan peranan yang proaktif dalam proses transformasi negara dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian.

Namun kayu ukur dan tanda aras hari ini telah berubah akibat proses globalisasi, ledakan maklumat dan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Sesungguhnya penambahbaikan yang ingin saya lakukan adalah satu kesinambungan kepada transformasi berterusan sektor awam yang telah dimulakan sejak lama dahulu.

PENJAWAT AWAM: DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN EKONOMI

Hakikatnya, hari ini kita berhadapan dengan dua cabaran monumental. Pertamanya cabaran jangka pendek dan keduanya cabaran jangka panjang. Di bawah cabaran jangka pendek ini terdapat tiga cabaran berkaitan. Cabaran jangka pendek pertama ialah untuk memastikan negara akan mengalami impak yang seminimum mungkin kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku. Cabaran jangka pendek kedua ialah untuk keluar daripada kemelut ekonomi dan kewangan yang ada, dengan kadar paling pantas. Cabaran jangka pendek ketiga ialah untuk membantu rakyat Malaysia bagi menangani keperitan hidup yang dialami.

Manakala cabaran jangka panjang pula ialah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia berasaskan kepada satu model yang baru berteraskan kreativiti dan inovasi.

Di bawah model baru ekonomi ini kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan bagi menjadi peneraju pertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru pada masa yang sama menggalakkan sektor pembuatan untuk bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Langkah-langkah ini diharapkan agar dapat menyelesaikan secara tuntas kemelut yang dialami negara selama ini dari segi ekonomi iaitu of being neither here nor there yakni, sementara kita bukan lagi boleh dianggap sebagai pusat sektor pengeluaran berkos rendah, kita juga belum berupaya melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor yang sama.

Model baru ekonomi ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk meningkatkan statusnya dari sebuah negara upper middle income kepada negara high income dan dalam masa terdekat meletakkan kita kembali di landasan yang betul bagi merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju.

Saya yakin dan percaya bahawa sektor perkhidmatan awam akan terus mampu memainkan peranan bagi menangani cabaran-cabaran ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya membantu dalam proses transformasi Malaysia daripada sebuah negara pertanian berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden sehingga Malaysia muncul di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia.

SATU MALAYSIA

Apabila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah mengutarakan konsep “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Konsep ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Selama ini pun, Malaysia berjaya kerana kita menjadikan kemajmukan rakyat yang ada sebagai sumber kekuatan walaupun kita telah menyaksikan banyak negara di dunia telah hancur dek faktor kemajmukan. Malah kita juga telah merasai sedikit sebanyak bagaimana kemajmukan yang tidak diurus dengan betul telah hampir meranapkan negara seperti mana yang telah dialami semasa tragedi 13 Mei.

Maka yang demikian, suka atau tidak suka, kita mesti mengakui kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus di terima. Inilah merupakan teras kepada konsep Satu Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan.

Konsep ini tidak sekali-kali lari daripada apa yang telah dimaktub dan dimuafakatkan melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Di bawah konsep Satu Malaysia ini setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan kita bantu. Tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan.

Sesungguhnya lagi janganlah mana-mana pihak menganggap mereka adalah warganegara kelas dua di negara tercinta ini, kerana setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang penting kepada negara, setiap mereka perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ketahuilah, setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab. Janganlah mana-mana pihak terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Di bawah konsep Satu Malaysia kita perlu memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan. Bagi kerajaan, meritokrasi bukan bermakna kesaksamaan yang membuta. Malah kesaksamaan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.

Dari itu, seorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik mana pun, tetapi ternyata mempunyai potensi sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik.

Maknanya, kita boleh menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan outcome yang sama. Dalam kata lain, kerajaan tidak boleh memainkan peranan ibu bapa, keluarga atau masyarakat setempat, kerajaan juga bukanlah galang yang boleh mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau peniaga juga usahawan untuk berjaya.

Apa yang kerajaan boleh buat seperti yang saya katakan tadi, adalah menyediakan garis permulaan yang adil. Pendek kata, antara prinsip-prinsip utama yang mendasari Satu Malaysia adalah kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) dalam satu keluarga besar.

PENJAWAT AWAM : DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN PENTADBIRAN

Modenisasi Sektor Awam

Bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan negara dalam perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur pada abad ke-21, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif untuk semua rakyat Malaysia mengoptimumkan potensi mereka.

Di sini peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, luwes dan berani berubah adalah amat mustahak. Saya amat gembira kerana dalam melaksanakan inisiatif modernisasi ini saya telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, khususnya Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Sesungguhnya pembaharuan yang akan dilakukan ini bukanlah bersifat top down tetapi sebaliknya melibatkan gabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan. Usaha ini memerlukan proses modenisasi menyeluruh yang melibatkan bukan sahaja modenisasi paradigma tetapi juga struktural. Kita memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini. Apa yang saya maksudkan dengan anjakan paradigma adalah pertamanya anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan.

Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip dalam bentuk cukai korporat. Hasil ini seterusnya digunakan bagi membangunkan negara dan untuk membayar gaji kakitangan awam.

Keanjalan ini penting bagi menghadapi cabaran untuk berjaya dalam ekonomi baru yang ditandai oleh proses globalisasi. Kita harus mengubah kerangka minda, strategi dan kaedah bekerja jika kita ingin memanfaatkan fenomena yang ada. Sesungguhnya extraordinary times requires extraordinary measures.

Sektor awam perlu menjadi pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengetepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam. Penjawat awam sekali-kali tidak boleh menjadi penghindar proses penciptaan kekayaan ini kerana jika mereka berbuat demikian, yang akan rugi pada analisis akhirnya adalah rakyat.

Anjakan paradigma kedua ialah beralih daripada budaya output dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan secara holistik. Perkhidmatan awam harus menganjak paradigma daripada menilai kejayaan yang berasaskan output kepada kejayaan yang berasaskan outcome.

Misalnya dalam bidang pelajaran, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian yang utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk kebajikan dan moral pelajar.

Begitu juga dalam hal menangani gejala penagihan najis dadah, perhitungan kita bukan hanya kepada berapa banyak pusat serenti yang mampu dibina, akan tetapi berapa ramai penagih yang berjaya kita pulihkan.

Contoh lain pula ialah penekanan kita bukan pada bilangan mesyuarat yang diadakan atau kekerapan lawatan ke luar negara tetapi kepada apakah hasil yang tercapai daripada mesyuarat dan lawatan yang telah dibuat.

Anjakan paradigma ketiga adalah anjakan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan rakyat. Kita memperakui sistem birokrasi yang ada di Malaysia telah membawa pembangunan ke seluruh penjuru negara sejak lima puluh tahun yang lalu, namun hari ini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam berada di belakang keluk perubahan negara mahupun global.

Jika diteliti perbelanjaan emolumen untuk pembiayaan sektor awam ia terus meningkat saban tahun. Hakikatnya kerajaan membelanjakan satu perempat daripada perbelanjaan pengurusan setiap tahun untuk emolumen sektor awam.

Pada tahun 2007 kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji asas kakitangan awam daripada 7.5 peratus sehingga 35 peratus. Daripada segi peruntukan, kerajaan telah pun membelanjakan jumlah yang besar untuk membiayai emolumen sektor awam pada tahun 2006 dengan sejumlah RM28 bilion untuk tujuan ini. Angka ini telah meningkat kepada RM32 bilion pada tahun 2007 dan kepada RM41 bilion pada tahun 2008.

Persoalannya, dibenak rakyat tertanya-tanya, adakah perbelanjaan ini berbaloi. Are the rakyat getting value for their tax dollars?

Lantas, untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, kita memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. We do not need mere seat warmers, we need actual doers.

Di sudut yang lain pula, kenapa kita harus secara operasionalnya terus-terusan mengamal tatacara kerja yang usang, menyulitkan lagi melambatkan jikalau ia dapat dilaksanakan atau disiapkan dalam masa yang cepat.

Perkara ini boleh dilaksanakan jika ada kemahuan, usaha dan tekad, ia tidak mustahil. Suatu masa dahulu untuk membuat atau memperbaharui pasport antarabangsa baru mengambil jangka masa yang panjang namun kini ia boleh disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja.

Dalam konteks ini juga, salah satu perkara yang sentiasa menjadi rungutan orang ramai ialah khidmat kaunter yang lambat. Rakyat mengeluh kerana walaupun jumlah kaunter dilihat begitu banyak namun kebanyakan waktu jumlah kaunter yang dibuka pada waktu puncak tidak pada jumlah yang optimum yang dapat menangani jumlah pelanggan.

Begitu juga jika rakyat menelefon jabatan-jabatan kerajaan, pegawai atau kakitangan tidak menjawab atau jika pun mereka menjawab mereka mengatakan tidak tahu. Walaupun bukan semua yang terbabit akan tetapi hal ini telah menyebabkan tanggapan buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara.

Justeru kenapa masih memegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah kepada birokrasi yang bersifat memudah cara. Saya lihat, salah satu langkah terbaik ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kaedah e-filingnya yang merupakan pendekatan yang memudahkan penuh kreativiti dan inovasi.

Anjakan paradigma yang keempat pula daripada produktiviti semata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi. Kalau selama ini kita mengukur pencapaian dari segi produktiviti, hari ini ukuran ini perlu ditambah baik melalui kreativiti dan inovasi.

Ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok (incremental), manakala jika digabungkan produktiviti dengan kreativiti dan inovasi, ia akan memberikan kita penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap).

Jelasnya, produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia. Tanggapan bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan menubuhkan jabatan/agensi baru atau menambah kakitangan adalah pandangan yang tidak tepat.

Dengan kemajuan teknologi maklumat produktiviti setiap pegawai dan kakitangan boleh dioptimumkan. Kita perlu mengawal saiz kerajaan kerana kerajaan tidak tahu semuanya atau mempunyai penyelesaian kepada setiap permasalahan. Realitinya, era kerajaan besar dan kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir.

Semua jabatan dan agensi kerajaan harus memaksimumkan aplikasi kreativiti dan inovasi ini. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kepuasan hati klien sektor awam yang utama iaitu rakyat.

Idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan hanya semata-mata ia tidak konvensional. Untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia sebagai tanda aras kecemerlangan peringkat global maka budaya pemikiran di luar kotak kebiasaan perlu menjadi norma harian dan rutin bukannya kepelikan. Barulah nanti wujud persekitaran kerja yang dinamik lagi bertenaga dan berdaya saing.

Dari segi pembaharuan struktural, pertamanya saya ingin mencadangkan kaedah ‘sistem kemasukan pelbagai peringkat' ke dalam perkhidmatan awam. Di bawah konsep ini kita akan dapat memanfaatkan proses cross fertilization di antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta.

Sudah tiba masanya kini jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari perkhidmatan selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik. Kita tidak boleh lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik dan tersaring demi kepentingan rakyat.

Keduanya, saya juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka di mana pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan pula ke perkhidmatan awam untuk saling menimba pengalaman.

Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

Oleh itu ketiganya bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap serta telah menjadikan mereka organisasi yang hebat.

Kita akan menghantar yang terbaik di kalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government, di Universiti Harvard, dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania.

PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia akan dianggotai anak-anak Malaysia yang terbaik. Saya mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor awam untuk bersama-sama kita menambah baik sistem dari dalam. Marilah bersama menyertai perkhidmatan awam, mempersembah kudrat dan pemikiran saudara saudari demi pertiwi.

Kita sedar buat masa ini kita tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta kepada saudara saudari tetapi apa yang kita boleh tawarkan adalah rasa kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara.

Walau apa pun, kita sedang berusaha untuk menyemak dan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang kritikal agar pengorbanan saudara dan saudari dihargai.

Di atas segalanya, saya amat maklum bahawa mengurus sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak. Paling utama harus ada kesefahaman di antara anggota pentadbiran sebagai penggubal dasar dan anggota perkhidmatan awam sebagai jentera pelaksana dasar.

Ini kerana, sebaik manapun dasar yang telah digubal tanpa mekanisma pelaksanaan yang cekap maka matlamat dasar tidak akan mampu direalisasikan.

Lantaran itu, baru-baru ini, semasa mengumumkan anggota Kabinet, saya telah menggariskan jangkaan terhadap pencapaian mereka. Saya telah mengamanahkan mereka untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi kepentingan rakyat.

Sehubungan itu saya turut mengumumkan satu sistem Petunjuk Utama Prestasi (KPI) yang akan dirangka bagi mengukur pencapaian mereka.

Namun, semboyan berkhidmat ini tidak terhenti setakat para anggota kabinet, anggota perkhidmatan awam adalah rakan kongsi utama kepada anggota pentadbiran untuk menunaikan komitmen kita kepada rakyat Malaysia dalam memberikan khidmat yang terbaik.

Justeru, saya berdiri di sini pada hari ini, bagi mengulangi seruan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar menumpah khidmat kepada rakyat dengan sepenuhnya.

Saya yakin dan percaya dengan pelaksanaan sistem pengurusan yang berteraskan pengiktirafan perkongsian antara anggota pentadbiran dan penjawat awam merupakan satu-satunya jalan untuk kita menempa kejayaan pembaharuan yang besar.

Perubahan tidak datang hanya dengan pengumuman atau berucap mengenainya. Ia terhasil daripada dedikasi dan kerja keras sepasukan manusia yang diikat oleh apa yang disebut dalam istilah bahasa Arab sebagai wa‘ad dan bai‘ah yakni satu tautan persetiaan dan perkongsian komitmen yang padu antara penjawat awam dan pentadbiran.

Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Bila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah pencapaian. Kepimpinan berteraskan pencapaian adalah kemuncak penilaian kepada kepimpinan.

Sebab itulah saya telah merangka KPI kerana piawai kepada pencapaian itu perlu ada. Ini akan membolehkan perkhidmatan awam dinilai secara holistik merangkumi penilaian kuantitatif dan kualitatif.

KPI ini bukan alat atau kaedah untuk menghukum atau mendera kakitangan awam tetapi sebagai kayu ukur yang objektif terhadap tahap penyampaian. Ingatlah bahawa setiap sen dan ringgit yang kita terima akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat.

Sesungguhnya, modenisasi sektor awam adalah suatu usaha murni yang besar dan berterusan. Saya tidak mahu mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam usaha pembaharuan ini.

Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan. Selepas ini kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong. Apa yang mustahak, kerja mesti dijalankan.

Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang berprestasi tinggi, tidak perlu bimbang. Janganlah menganggap diri tuan-tuan dan puan-puan sebagai wira yang tidak didendang. Kepada mereka yang pencapaiannya kurang memuaskan pula, saya menyeru agar bingkas bangun membaiki prestasi diri.

Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Oleh yang demikian, di bawah konsep Rakyat Didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien yang terutama.

Penjawat awam perlu dilihat memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat. Ini kerana sebab musabab atau raison d‘etre kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk mengkhidmati rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam.

Dalam hal konsep rakyat diutamakan ini, marilah kita merenung sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku'.

Jadinya, saya berasakan bahawa kita perlu mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat menelusuri kepimpinannya dalam tamadun Islam yang sungguh menakjubkan itu. Moga, dapatlah kita beriktibar daripadanya dalam mengangkat kepentingan rakyat dalam khidmat masing-masing.

Bertolak dari situ, pada hemat saya jua, jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.

Sebab itulah saya sangat menekankan empati dalam pentadbiran saya agar penyelesaian yang kita capai bagi setiap masalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya.

Yang paling mustahak, saya inginkan pentadbiran saya menjadi pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat. Pentadbiran yang berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Justeru, sebaik saya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri, saya telah mulakan siri walkabout atau tinjauan mesra dan prihatin di kawasan-kawasan tertentu, bukan sahaja bagi membolehkan saya mendekati rakyat, tetapi lebih penting, supaya saya dapat merasai kepekaan secara visual dan merasai sendiri melalui panca deria saya akan segala bau dan hiruk-pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Contohnya juga, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini.

Di noktah ini, saya sayugia teringat kepada pendekatan Allahyarham ayahanda saya yang turun merapati rakyat ke kampung-kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan, menaiki basikal dan berperahu.

Memang jelas, pengalaman yang diperolehi itu amat berharga, dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh dari realiti kehidupan.

Sebab itulah saya mahukan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga turun padang dari masa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing. We must understand our stakeholders in order to be able to deliver what they require. Nescaya, insya-Allah, rakyat akan menerima kita sepenuhnya.

Akhir kata demi rakyat, tunjangkan dan tampilkanlah penjawat-penjawat awam yang berintegriti, berkebolehan, setia dan berdedikasi. Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

( Sumber : Utusan Malaysia – 29 April 2009)

Please be aware that the free essay that you were just reading was not written by us. This essay, and all of the others available to view on the website, were provided to us by students in exchange for services that we offer. This relationship helps our students to get an even better deal while also contributing to the biggest free essay resource in the UK!